Minda Presiden PAS
Senario sebelum Arab Spring dan pascanya menyaksikan semua negara yang dianggap ancaman yang mengepung negara haram Israel akan dikacau bilaukan. Isu yang dinyalakan sangat manis dan menarik di atas nama menegakkan demokrasi, melawan kezaliman, memprotes terhadap inflasi dan membangkitkan isu perkauman dan mazhab yang berlainan. Padahal negara tersebut dahulunya dibahagikan oleh mereka mengikut perjanjian yang dikenali ‘The Sykes-Picot Agreement’ dan ‘Balfour Agreement’.
Bermula daripada Algeria membatalkan Pilihan Raya Majlis Perbandaran yang dimenangi oleh Parti Islam, sehinggalah Arab Spring yang menggulingkan kerajaan di Mesir yang digulingkan pula oleh tentera, dikacau-bilaukan Sudan sehingga ditukar kerajaannya, diserang Yaman sehingga rakyatnya menderita, dan berlaku perang saudara di Libya, Syria, Iraq, cubaan rampasan kuasa tentera di Turki, dan terkini demonstrasi di Lubnan, Iraq dan bantahan kenaikan harga minyak di Iran yang dibesarkan huru-haranya.
Semua negara dihuru-harakan tanpa dikira sama ada diktator, demokrasi, Sunni atau Syiah, sehingga ramai rakyat yang dikorbankan, harta negara dibakar hangus atau diangkut ke negara lain supaya diambil manfaat dengan menjual senjata, bukan untuk faedah negara sendiri dan negara sahabat.
Negara-negara tersebut kerana bersempadan dengan negara haram Israel, laluan keselamatannya, atau secara langsung mahu berperang dengan negara haram itu.
Semua negara yang tidak menjadi ancaman kepada negara haram Israel diberi keamanan. Namun, kerajaan dan rakyatnya yang kuat menyokong rakyat Palestin akan dihuru-harakan melalui campur tangan dengan menyalakan api peperangan yang dibantu persenjataannya dengan hasil negara itu sendiri dan dijual senjata kepada semua pihak yang berperang. Ada yang disekat ekonominya dengan alasan kerajaan diktator atau Sunni melawan Syiah atau Syiah membahayakan Sunni.
Arab dan Turki melawan Kurdis yang sengaja dibekalkan senjata di atas nama hak rakyat Kurdis walaupun mereka komunis yang ideologinya anti-Barat, tetapi sangat berfaedah kepada keselamatan Israel.
Padahal negara Barat penjajah itu juga yang menyokong kerajaan diktator dahulunya. Merekalah yang menyokong tentera merampas kuasa, membahagikan negeri kepada Arab yang dipecahkan dan tiada negara bagi kaum Kurdis, bangsa Sultan Salahudin Al-Ayubi yang mengalahkan bala tentera Perang Salib dahulu sehingga membebaskan Bait Al-Maqdis daripada penjajah.
Merekalah yang membekalkan Shah Iran yang sangat zalim itu dengan segala keistimewaan dan Syiahnya dianggap tidak berbahaya pada masa itu, walaupun datang ke Makkah beramai-ramai dan sembahyang berasingan daripada Mazhab Ahli Sunnah.
Setelah berlakunya kebangkitan semula Islam dalam kalangan umatnya, khususnya dalam kalangan negara yang berjiran dengan Israel, ditubuhkan kumpulan Islam seperti Tanzim Jihad dan Hamas di Palestin yang bermazhab Sunni dan Hizbullah di Lubnan yang bermazhab Syiah, semuanya dibantu oleh Iran yang mengisytiharkan Republik Islam dan mengharamkan negara Israel.
Maka apabila dirasakan Israel sangat terancam, dilakukan cadangan lakaran semula Peta Baru Asia Barat bertemakan Order Baru Dunia. Keluarnya pula kenyataan-kenyataan media secara terbuka oleh para pemimpin negara Barat, khususnya Amerika dan Eropah yang paling kuat pengaruh Zionis dan kuat mendukung lakaran peta tersebut, selepas itu tercetus keadaan kacau bilau, khususnya di negara-negara paling berjiran dengan Israel.
Walaupun para pemimpin negara-negara tersebut melakukan perubahan masing-masing, tetapi tetap dilihat ukuran dan suhu kepanasan bahaya terhadap negara haram Israel yang mesti menjadi ukuran bagi menentukan sikap politik dan keselamatannya.
Terkini, Sudan sudah dilakukan rampasan kuasa. Algeria, Tunisia dan Morocco masih bergolak. Perang di Syria, Libya dan Yaman masih bernyala. Qatar dikepung dan dilakukan rampasan kuasa di Turki tetapi gagal. Kini dihuru-harakan di Lubnan, Iraq dan akhirnya Iran menerima giliran kerana kesan sekatan ekonomi yang tidak difahami oleh rakyat biasa.
Negara Turki yang terselamat beberapa tahun yang lalu daripada rampasan kuasa tentera yang disokong oleh Israel, Amerika dan negara Arab sekutu yang bersekongkol dengannya, tetap menjadi sasaran perang ekonomi dan diplomatik bagi menjatuhkan kerajaannya, sebaik sahaja terserlah menyokong perjuangan rakyat Palestin dengan kuat dan tegas walaupun masih terikat dengan pakatan Nato dan perlembagaan negara yang dibelenggukan oleh pengaruh Barat yang masih tebal.
Namun Turki menjadi sasaran paling hebat oleh negara Arab yang menjadi pengkalan Barat, sehingga menghasilkan filem drama yang memaparkan kekejaman kerajaan Uthmaniyah dahulu bagi meracuni rakyat terhadap Turki yang berpihak kepada Palestin yang berbangsa Arab.
Walaupun sesama Islam dan Mazhab Sunni, tetapi diwajahkan Turki adalah negara penjajah yang sangat berbahaya, bukannya negara Barat yang mempunyai pengkalan tentera di atas bumi Arab itu.
Iran yang menukar jenama kepada Republik Islam Iran dan berjaya memajukan negaranya sehingga ke peringkat teknologi yang paling tinggi, dianggap paling bahaya dengan diisytiharkan perang terbuka atas nama bahaya Syiah kerana Iran membantu Palestin yang bermazhab Sunni dan mengisytihar perang terbuka terhadap Israel.
Namun dianggap Syiah lebih berbahaya daripada Israel, walaupun Ayatollah Khomeini mengarahkan jemaah hajinya menyatukan sembahyang di Makkah dan mengeluarkan fatwa dengan menawarkan upah berjuta dolar kepada mereka yang berjaya membunuh Salman Rushdie yang menulis buku menghina Nabi Muhammad S.A.W dan isteri Baginda yang akhirnya diselamatkan oleh barat.
Seterusnya Ali Khamenei yang menggantikannya telah mengisytiharkan fatwa mengharamkan celaan terhadap isteri Rasulullah S.A.W. dan para sahabat R.A. yang dilakukan oleh kalangan Syiah yang melampau, demi perpaduan menghadapi musuh Islam hendaklah wajib diutamakan. Namun semuanya tidak dipedulikan, kerana kepentingan mereka supaya jangan membahayakan negara haram Israel.
Mereka tidak menjadikan isu yang besar mengenai berita pendedahan skandal Presiden Amerika yang sangat memalukan dan tindakannya yang tidak bijak dalam hubungan dengan negara asing yang dianggap kecil sahaja, asalkan dia kuat menyokong Israel lebih daripada pemimpin lain sehingga berani mengisytiharkan Bait Al-Maqdis adalah ibu negara haram Yahudi. Bahkan menawarkan duit kepada Palestin supaya berpindah ke padang pasir untuk memberi laluan keselamatan kepada Israel.
Inilah keadaan politik dunia hari ini yang patut disedari oleh semua pihak supaya jangan mudah diperbodohkan.
Malangnya masih ada di kalangan negara yang masih bergantung hidupnya dengan bekas penjajah yang terus menjajah, walaupun dikatakan sudah merdeka, tetapi akal fikirannya tetap masih dijajah, sehingga melupakan agama dan jati diri bangsanya sendiri.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 29 Rabi’ul Awwal 1441 / 26 November 2019