PERUTUSAN KETUA PENGARAH PASTI MALAYSIA
SEMPENA SESI PERSEKOLAHAN 2020
Alhamdulillah dirafa’kan setinggi kesyukuran ke hadrat Ilahi atas segala nikmat kurniaan-Nya. Berakhir tahun 2019 dengan memasuki lembaran tahun 2020 sudah tentu masing-masing teruja untuk melakar potret baru. Bermula sesi persekolahan dan pembelajaran murid dan pelajar diseluruh negara.
Anak-anak murid Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) juga tidak ketinggalan merasakan dan meraikan detik tersebut. Baik yang kembali meneruskan pembelajaran di PASTI mahupun yang baru bermula memasuki alam persekolahan. Begitu juga para guru dan warga PASTI yang lain. Semangat dan keterujaan itu terpapar di riak wajah anak-anak ini saat bermula sesi pendaftaran lagi. Keceriaan para guru menyambut dengan senyuman serta memerah keringat menyinsing lengan memastikan persiapan dan segala keperluan murid di PASTI berada ditahap yang optimum.
Tahun 2020 ini, menyaksikan bagaimana PASTI mencipta satu sejarah baru dalam “Melakar Generasi Celik Ilmu”. Dalam lingkaran fitrah perkembangan minda anak-anak yang suci, metode yang disajikan amat selari dengan kondisi serta tahap pencapaian mereka. Anak-anak seawal usia 4, 5 dan 6 tahun sudah pasti setiap detik yang dilalui adalah suatu prestasi positif kepada tumbesaran fizikal dan minda mereka. Stigma yang mengatakan bahawa penilaian prestasi itu hanya semata-mata melalui kaedah peperiksaan adalah suatu yang kurang tepat. PASTI menongkah arus menzahirkan solusi baru dalam Sistem Perkembangan Prestasi Murid (SPPM) sebagai satu sistem penilaian perkembangan murid secara lebih berkesan dan komprehensif disamping mengurangkan kebergantungan kepada kaedah peperiksaan. Sistem pemantauan yang efeksyen mampu menghilangkan sempadan jurang prestasi murid dan lebih memfokuskan penghasilan kecemerlangan bersama keseluruhan para murid PASTI.
Kemenjadian murid digarap secara seimbang melalui 5 elemen bersepadu dalam SPPM iaitu Celik Al Quran, Celik Sahsiah, Celik Minda, Celik Cerdas dan Celik Membaca. Perkembangan prestasi murid ini dimurnikan dalam sistem penjadualan yang baru dinamakan sebagai Jadual Mumtaz yang dilaksanakan diseluruh negara. Secara objektifnya, berpaksikan 5 Celik dan Jadual Mumtaz yang bertujuan membentuk bi’ah pembelajaran yang lebih kondusif dan berfokus melalui beberapa fasa ini, mampu menghasilkan natijah yang terbaik dan mencapai matlamat dalam pembaharuan metode ini.
Asas pembaharuan yang disajikan kepada rakyat Malaysia ini, selari dengan hasrat perjuangan PAS itu sendiri. Melalui Sektor Pendidikan Dewan Pemuda PAS Malaysia yang amat menitikberatkan aspek kualiti pendidikan, PASTI “membajak” dan “membugar” tanah tanaman di Pusat Asuhan ini agar hasilnya nanti, anak-anak murid PASTI berjaya dengan cemerlang dan menjadi aset perjuangan agama dan negara pada masa akan datang.
Selamat menjalani sesi persekolahan dan pembelajaran pada tahun ini. Mudahan Allah SWT berkati segala usaha dan menjadikan tahun 2020 merupakan tahun yang cemerlang untuk semua.
SYARHAN HUMAIZI HALIM
Ketua Pengarah PASTI Malaysia
5 Jamadil Awal 1441H | 1 Januari 2020