Khamis | 23 April 2020
Assalamualaikum dan selamat Sejahtera buat semua umat Islam amnya dan warga Hulu Langat khasnya.
Ramadhan kembali lagi. Sempena kedatangan bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini, marilah kita sama-sama menyambutnya dengan penuh kesyukuran dan tingkatkan amal ibadah puasa disiang hari manakala banyakkan berzikir kepada Allah swt, mengaji Al-Quran, Solat Terawih dan Solat Tahajud di malam hari.
Sambutan kedatangan Ramadhan pada tahun 1441H/2020M kali ini amatlah berbeza berbanding tahun-tahun yang lalu. Disaat ini, kita diuji dengan wabak Covid-19 yang melanda seluruh dunia termasuklah di Malaysia. Pihak Jabatan Agama Islam Selangor didalam memo peringatan kepada semua surau dan masjid di Selangor telah memberi arahan larangan sementara untuk bersolat fardhu dan solat terawih secara berjamaah sehingga 31 Mei 2020 bagi mengekang merebaknya virus Covid-19 dikalangan ahli kariah. Saya menyeru agar kita terus bersabar dan sentiasa mematuhi arahan kerajaan dengan menjaga kesihatan diri dengan memakai penutup muka jika berada di luar, membasuh tangan sentiasa , memastikan jarak sosial 1 meter dan berada bersama keluarga tercinta di rumah masing-masing sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kita sedar bahawa Kawasan Parlimen Hulu Langat merupakan zon merah dengan jumlah pesakit positif Covid-19 yang tinggi di Selangor ini.Namun dengan berkat kesabaran dan kepatuhan kepada arahan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan khasnya KKM, alhamdullilah jumlah kes positif telah pun berkurangan dan peratusan pesakit yang telah sembuh telah meningkat.
Di bulan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan ini, saya menyeru kepada kita semua agar bersama-sama kita muhasabah dan insaf serta bertaubat atas kesilapan diri masing masing. Kepada Allah kita serahkan segalanya.
Sepanjang perlaksanaan PKP yang bermula sejak sebulan yang lepas sehingga 28 April 2020 ini, PKHL sedar akan kepayahan dan kesulitan masyarakat yang terbeban dengan situasi semasa ini. Pihak kami telah bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) , Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan NGO Khidmat Masyarakat serta masyarakat prihatin didalam usaha membantu menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.Semoga amal jariah kita di bulan ramadhan ini diberikan ganjaran pahala berganda.
Akhirnya, marilah kita saling berkerjasama memerangi wabak Covid-19 dengan satukan muafakat dan eratkan silaturrahim sesama masyarakat berbilang kaum, NGO-NGi dan parti politik dengan satu hasrat agar keharmonian dan kemakmuran sejagat dapat terus terpelihara di negara Malaysia yang kita cintai ini.
Ikhlas berjuang demi redha Allah
Mohamad Jan Sulong
YDP PKHL