Jumaat | 26 Jun 2020
Sesapan Batu Rembau,Semenyih – JPRD PAS Dun Semenyih yang diketuai oleh Dr Akmal selaku Timbalan Pengarah 1 bersama-sama Pn Sapura selaku Timbalan Pengarah 4 (Muslimat), Cikgu Rosli selaku Ketua Penerangan dan Saudara Rizal selaku Ketua Portfolio pada pagi ini telah berkesempatan melakukan kunjungan hormat ke atas YB Zakaria Hanafi, Adun Semenyih.
Pertemuan ini bertujuan mengukuhkan lagi muafakat dan kerjasama antara PAS dan UMNO khususnya di peringkat Dun Semenyih. Ianya berkisar sekitar hal kemasyarakatan dan politik yang boleh dimanfaatkan bersama khususnya gerakerja YB selaku Adun Semenyih yang telah diberikan mandat baharu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang lalu. Memahami aspirasi pimpinan supaya Muafakat Nasional (MN) diperkukuhkan di pelbagai peringkat, maka langkah kecil ini diharapkan menjadi perintis kepada kerja-kerja besar yang seterusnya, khususnya ke arah memenangi PRU 15 tidak lama lagi.
Dalam pertemuan santai selama sejam ini PAS Dun Semenyih membangkitkan beberapa persoalan dan aduan rakyat yang meliputi isu-isu tanah dan air, masalah-masalah dalam industri penternakan dan pertanian, serta turut membincangkan berkenaan usaha-usaha bersama yang boleh diterokai bagi membantu masyarakat setempat yang terkesan dengan penularan wabak COVID-19 selama beberapa bulan kebelakangan ini.
Suatu persefahaman gerakerja politik bersama juga diinisiatifkan dalam pertemuan ini, khususnya dalam usaha memperkukuh dan melonjakkan lagi erti sebuah kemenangan yang cukup penting kepada ummah dalam mendepani pelbagai lagi cabaran politik setempat yang sentiasa menuntut perkhidmatan terbaik YB Zakaria.
Semoga pertemuan ini akan menatijahkan sebuah kejayaan dalam muafakat yang dirintis oleh kepimpinan kedua dua parti demi kelangsungan agama dan bangsa di tanah leluhur ini.
CIKGU ROSLI SAID
Ketua Penerangan JPRD Semenyih