Minda Presiden PAS

TA‘AWUN SIYASI SATU PENYELESAIAN
Dalam fiqh politik Islam, terdapat beberapa pendekatan perpaduan dan persaudaraan termasuk kerjasama dengan pelbagai pihak yang dinamakan tahaluf dan ta‘awun.
Tahaluf (alliance) ialah muafakat secara rasmi yang bersistematik dan bersyarat untuk mencapai tujuan jangka panjang, walaupun melibatkan pihak-pihak yang berbeza dan mempunyai kebebasan sendiri.
Adapun ta‘awun (cooperation) bersifat kerjasama yang lebih umum yang bertujuan saling mendapatkan manfaat. Ta‘awun sifatnya tidak terikat dengan tempoh tertentu, dan melibatkan kumpulan yang bersaudara dan berbeza.
Ini bermakna tahaluf lebih khusus dan rasmi daripada ta‘awun. Hal ini demikian kerana, tahaluf dilaksanakan dengan syarat-syarat yang ketat dalam jangka masa yang panjang dengan tujuan mencapai matlamat bersama, walaupun berbeza dasarnya.
Adapun ta‘awun pula ialah perbuatan tolong-menolong yang tidak terikat dengan masa dan melibatkan hubungan yang terpilih sahaja, tanpa terikat dengan syarat-syarat yang ketat.
Setelah Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengalami kegagalan berulang kali dalam tahaluf bersama pelbagai pihak yang lain, saya telah mengadakan satu perbincangan khusus bersama dua orang mantan Mursyidul ‘Am PAS, iaitu Almarhum Tuan Guru Nik Abdul ‘Aziz dan Almarhum Dr. Haron Din di bilik tetamu Dewan Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK), Kelantan, sebelum kedua-duanya kembali ke rahmatullah.
Hanya kami bertiga sahaja berbincang dalam usaha memperkukuh perpaduan ummah dengan mengambil pendekatan yang lebih anjal (fleksibel) bagi meredakan ketegangan dan perbezaan antara pelbagai pihak, khususnya antara kalangan Melayu Islam dan bukan Islam yang berdamai.
Pendekatan baharu ini bukan dicipta atau disambar di tengah jalan, tetapi adalah mata rantai perjuangan Islam yang tidak putus, walaupun telah melalui beberapa generasi dan bersilih ganti pemimpinnya. Perjalanan ini tidak boleh difahami oleh mereka yang masuk PAS sekadar bertenggek menumpang dan menjadikan PAS anak tangga untuk melompat, laksana kera yang melompat ke arah pokok yang dilihat lebat buahnya. Firman Allah SWT:
لَوۡ كَانَ عَرَضٗا قَرِيبٗا وَسَفَرٗا قَاصِدٗا لَّٱتَّبَعُوكَ وَلَٰكِنۢ بَعُدَتۡ عَلَيۡهِمُ ٱلشُّقَّةُۚ وَسَيَحۡلِفُونَ بِٱللَّهِ لَوِ ٱسۡتَطَعۡنَا لَخَرَجۡنَا مَعَكُمۡ يُهۡلِكُونَ أَنفُسَهُمۡ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ إِنَّهُمۡ لَكَٰذِبُونَ ٤٢
“Kalau yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperoleh dan perjalanan yang tidak seberapa jauh, pastilah mereka mengikutimu, tetapi tempat yang dituju itu amat jauh dan banyak kesukarannya terasa oleh mereka. Mereka akan bersumpah dengan (nama) Allah, ‘Jikalau kami sanggup tentulah kami berangkat bersama-samamu.’ Mereka membinasakan diri mereka sendiri dan Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka benar-benar orang-orang yang berdusta.” [Surah al-Tawbah: 42]
Ada kalangan mereka yang berani bersumpah dan berbaiah, tetapi melanggar baiah dan sumpah dengan mudah kerana tidak percaya kepada kedudukan baiah dalam perjuangan Islam dan akibat mengkhianatinya.
Adapun ta‘awun siyasi (bertolong-menolong) dilakukan berpandukan firman Allah SWT:
… وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٰنِۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ ٢
“…Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat seksa-Nya.” [Surah al-Ma’idah: 2]
Sebab turunnya wahyu Allah melalui ayat ini ialah larangan merampas atau memperlakukan binatang ternakan yang dibawa oleh orang Arab bukan Islam untuk Kaabah, ketika mereka masih melakukan ibadat haji. Walaupun mereka berada dalam keadaan syirik, namun semuanya tetap menyanjung Nabi Ibrahim AS.
Al-Quran ialah kitab suci yang menjadi sumber hidayah dalam segala aspek sepanjang zaman. Ia tetap menjadi petunjuk dalam konsep tolong-menolong dalam kehidupan bermasyarakat majmuk dan madani dalam perkara yang baik, walaupun dilakukan oleh musuh atau lawan, dan diharamkan tolong-menolong dalam perkara dosa dan melampaui batas, walaupun dilakukan oleh kalangan ahli keluarga atau kawan.
Bagi melaksanakan usaha kebajikan, Islam mendahulukan perdamaian dan mengelakkan peperangan, berpandukan perintah Allah SWT:
۞وَإِن جَنَحُواْ لِلسَّلۡمِ فَٱجۡنَحۡ لَهَا وَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡعَلِيمُ ٦١ وَإِن يُرِيدُوٓاْ أَن يَخۡدَعُوكَ فَإِنَّ حَسۡبَكَ ٱللَّهُۚ هُوَ ٱلَّذِيٓ أَيَّدَكَ بِنَصۡرِهِۦ وَبِٱلۡمُؤۡمِنِينَ ٦٢
“Dan jika mereka condong kepada perdamaian, maka condonglah kepadanya dan bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya, Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (61) Dan jika mereka bermaksud menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjadi pelindungmu). Dialah yang memperkuatmu dengan pertolongan-Nya dan dengan para Mukmin. (62)” [Surah al-Anfal: 61-62]
Tidak ada larangan bagi orang bukan Islam untuk melakukan ibadat mereka dan tidak dibenarkan bertindak merobohkan rumah ibadat mereka dalam keadaan Islam berkuasa dan kuat. Ini bukan janji manifesto, tetapi berdasarkan firman Allah SWT:
ٱلَّذِينَ أُخۡرِجُواْ مِن دِيَٰرِهِم بِغَيۡرِ حَقٍّ إِلَّآ أَن يَقُولُواْ رَبُّنَا ٱللَّهُۗ وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَهُم بِبَعۡضٖ لَّهُدِّمَتۡ صَوَٰمِعُ وَبِيَعٞ وَصَلَوَٰتٞ وَمَسَٰجِدُ يُذۡكَرُ فِيهَا ٱسۡمُ ٱللَّهِ كَثِيرٗاۗ وَلَيَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ ٤٠
“(Iaitu) orang-orang yang telah diusir dari kampung halaman mereka tanpa alasan yang benar, kecuali kerana mereka berkata, ‘Tuhan kami hanyalah Allah.’ Dan sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat orang Yahudi dan masjid-masjid, yang di dalamnya banyak disebut nama Allah. Sesungguhnya, Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya, Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa.” [Surah al-Hajj: 40]
Apabila Islam mencapai kemenangan dan umat Islam berjaya menegakkan negara di Madinah yang kuat setelah dizalimi kerana Islam yang dianuti mereka, mereka tidak bertindak membalas dendam. Hal ini diputuskan setelah mengambil kira bahawa orang kafir juga memuji Allah, walaupun tidak sah mengikut hukum Islam kerana kesyirikan mereka.
Sunnah juga menjadi dalil apabila Rasulullah SAW menerima Perjanjian Damai (Suluh) Hudaibiyyah sehingga menangguhkan pelaksanaan ibadat umrah ke tahun hadapan yang menjadi syarat perjanjian tersebut. Hal ini demikian kerana, Islam mengamalkan konsep mendahulukan perdamaian, dan ini memberikan kemenangan moral politik kepada Islam.
Demikian juga gerakan membantu semua mangsa apabila berlakunya bencana alam seperti banjir atau wabak penyakit, tanpa mengira musuh atau kawan.
Dalam aspek politik, PAS menerima dan mengikuti konsep demokrasi Barat kerana aspek kebebasan bersuara yang ada dalam demokrasi, walaupun berlaku banyak salah laku melibatkan kezaliman dan penipuan akibat berpisah daripada agama.
Dalam aspek kehidupan bermasyarakat majmuk pula, PAS turut sama terlibat dalam membantu mangsa bencana alam tanpa memilih kawan ataupun lawan.
PAS boleh bekerjasama dengan semua pihak dalam isu Palestin, Bosnia, dan Myanmar (Rohingya), termasuklah membantu pelarian akibat peperangan di Vietnam, Kemboja dan lain-lain.
Pada masa yang sama, PAS juga menentang kalangan pelampau yang membunuh orang awam dengan serangan ganas walaupun oleh kumpulan yang berjenama Islam tetapi merosakkan imej Islam, serta melampaui sempadan halal dan haram.
PAS tidak boleh bekerjasama dalam membenarkan salah laku, contohnya apa yang baru sahaja berlaku di Perlis, walaupun dilakukan oleh ahli PAS sendiri dan kehilangan kerusi yang boleh menjatuhkan kerajaannya. Hal ini demikian kerana, PAS mempunyai dasar dan akar umbi yang kukuh, serta cabang yang tidak mati kalau dipotong, sebaliknya menumbuhkan tunas yang lebih banyak dan subur. Firman Allah SWT:
أَلَمۡ تَرَ كَيۡفَ ضَرَبَ ٱللَّهُ مَثَلٗا كَلِمَةٗ طَيِّبَةٗ كَشَجَرَةٖ طَيِّبَةٍ أَصۡلُهَا ثَابِتٞ وَفَرۡعُهَا فِي ٱلسَّمَآءِ ٢٤ تُؤۡتِيٓ أُكُلَهَا كُلَّ حِينِۢ بِإِذۡنِ رَبِّهَاۗ وَيَضۡرِبُ ٱللَّهُ ٱلۡأَمۡثَالَ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمۡ يَتَذَكَّرُونَ ٢٥
“Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimah yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit. (24) Pohon itu memberikan buahnya pada setiap musim dengan izin Tuhannya. Allah membuat perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka selalu ingat. (25)” [Surah Ibrahim: 24-25]
PAS pernah bertahaluf dengan Parti Perikatan (UMNO, MCA dan MIC) ketika meletusnya peristiwa 13 Mei 1969, begitu juga bertahaluf dengan Parti Semangat 46 yang berpecah daripada UMNO. Setelah itu, PAS bertahaluf bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) bagi menentang kezaliman dan pencabulan terhadap demokrasi. Kemudiannya, PAS berta‘awun dengan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dalam usaha pindaan Rang Undang-Undang (RUU) 355 yang berkait dengan pelaksanaan undang-undang jenayah syariah untuk meminda hukuman sebatan kepada cara Islam yang bersifat mendidik, bukan menyeksa.
Maka, perlunya hubungan kemanusiaan tidak diputus kerana Islam menetapkan manusia itu laksana satu keluarga besar dan bermasyarakat madani, berpandukan firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ٱتَّقُواْ رَبَّكُمُ ٱلَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفۡسٖ وَٰحِدَةٖ وَخَلَقَ مِنۡهَا زَوۡجَهَا وَبَثَّ مِنۡهُمَا رِجَالٗا كَثِيرٗا وَنِسَآءٗۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ ٱلَّذِي تَسَآءَلُونَ بِهِۦ وَٱلۡأَرۡحَامَۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَيۡكُمۡ رَقِيبٗا ١
“Wahai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu daripada seorang diri (Adam AS), dan daripadanya Allah menciptakan isterinya (Hawwa’ AS); dan daripada kedua-duanya Allah mengembangbiakkan lelaki dan perempuan yang banyak. Dan bertaqwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturahim. Sesungguhnya, Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.” [Surah al-Nisa’: 1]
Firman Allah SWT lagi:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ ١٣
“Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, lalu menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya, orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa antara kamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” [Surah al-Hujurat: 13]
Adapun hubungan persaudaraan Islam khususnya dalam satu bangsa adalah lebih erat dan penting kerana bersifat prinsip (iman) termasuk keluarga yang dekat (silaturahim) yang haram diputuskan.
Bagi merealisasikan hubungan seagama, bangsa dan kemanusiaan, usaha perpaduan ummah wajib dilaksanakan sehingga menjadi kenyataan. Maka, semua pihak wajib bertasamuh mengetepikan kepentingan duniawi seperti kepentingan diri, pangkat dan harta.
Tanggungjawab ini adalah satu kebijaksanaan yang membawa kebajikan yang besar bagi menegakkan Islam sehingga berdaulat dan menyelamatkan semua, khususnya bagi menyelamatkan agama, bangsa seagama dan negara. Hal ini demikian kerana, Islam mengamalkan konsep berlaku adil kepada semua dan mempunyai ciri wawasan akhirat yang adanya perhitungan dosa dan pahala yang tidak ada pada agama selain Islam dan ideologi ciptaan manusia.
Maka, langkah yang diambil oleh Rasulullah SAW bermula dengan menyatukan bangsa Arab bagi menguatkan kuasa bernegara sebelum meneruskannya dengan masyarakat majmuk. Langkah wajib diambil dari aspek agama dan kemanusiaan supaya dapat menjadi teladan kepada Melayu Islam bagi menyelamatkan negara.
Kaum bukan Islam sepatutnya tidak ada sangka buruk dalam langkah ini kerana Islam mewajibkan menunaikan janji dengan semua pihak, sepertimana firman Allah SWT:
… وَأَوۡفُواْ بِٱلۡعَهۡدِۖ إِنَّ ٱلۡعَهۡدَ كَانَ مَسُۡٔولٗا ٣٤
“…Dan penuhilah janji; sesungguhnya janji itu pasti diminta dipertanggungjawabkan.” [Surah al-Isra’: 34]
Sabda Rasulullah SAW:
الْمُسْلِمُونَ عَلَى شُرُوطِهِمْ إِلَّا شَرْطًا حَرَّمَ حَلَالًا، وَأَحَلَّ حَرَامًا.
“Penganut Islam wajib menunaikan syarat yang dijanjikan melainkan syarat mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram.” [Hadis Riwayat al-Tabrani, al-Mu‘jam al-Kabir, Bab al-‘Ain, no. 30, daripada ‘Amr bin ‘Awf al-Muzani]
Hubungan satu agama dan hubungan kemanusiaan yang damai perlu dihormati secara baik, serta laksanakan perkara yang positif, bukan menggalakkan perkara yang negatif. Di samping itu, raikan titik persamaan yang mulia dan bertolak ansur dalam perbezaan yang tidak melampau. Inilah konsep Islam.
Islam bersifat tidak memaksa apabila berdakwah kerana tidak ada paksaan dalam beragama, dan berlaku adil kepada semua apabila memerintah dan memimpin, namun sikap zalim dan melampau mesti ditentang. Islam menentang tindakan melampau sama ada terhadap sesama Islam dan terhadap bukan Islam, termasuk yang menceroboh dengan zalim, berpandukan ayat-ayat al-Quran.
Allah SWT berfirman kepada saudara seagama yang melampau:
وَإِن طَآئِفَتَانِ مِنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ ٱقۡتَتَلُواْ فَأَصۡلِحُواْ بَيۡنَهُمَاۖ فَإِنۢ بَغَتۡ إِحۡدَىٰهُمَا عَلَى ٱلۡأُخۡرَىٰ فَقَٰتِلُواْ ٱلَّتِي تَبۡغِي حَتَّىٰ تَفِيٓءَ إِلَىٰٓ أَمۡرِ ٱللَّهِۚ فَإِن فَآءَتۡ فَأَصۡلِحُواْ بَيۡنَهُمَا بِٱلۡعَدۡلِ وَأَقۡسِطُوٓاْۖ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ ٩
“Dan kalau ada dua golongan daripada mereka yang beriman itu berperang hendaklah kamu damaikan antara kedua-duanya. Akan tetapi, kalau salah satunya melampau terhadap yang lain, hendaklah yang melanggar perjanjian itu kamu perangi sampai surut kembali kepada perintah Allah. Kalau dia telah surut, damaikanlah antara kedua-duanya menurut keadilan, dan hendaklah kamu berlaku adil; sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berlaku adil.” [Surah al-Hujurat: 9]
Firman Allah ini menjadi petunjuk supaya jangan melampau terhadap musuh bukan Islam yang menceroboh:
وَقَٰتِلُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱلَّذِينَ يُقَٰتِلُونَكُمۡ وَلَا تَعۡتَدُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُعۡتَدِينَ ١٩٠
“Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, karena sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.” [Surah al-Baqarah: 190]
Maka, wajib berlaku adil sekalipun terhadap musuh, sepertimana firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَلَا يَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنََٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ ٨
“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Hendaklah kamu berlaku adil, kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” [Surah al-Ma’idah: 8]
Allah menggalakkan pemberian maaf terhadap musuh lebih daripada membalas atas perbuatan mereka dengan setimpal, serta diharamkan melampau kerana dendam. Firman Allah SWT:
وَإِنۡ عَاقَبۡتُمۡ فَعَاقِبُواْ بِمِثۡلِ مَا عُوقِبۡتُم بِهِۦۖ وَلَئِن صَبَرۡتُمۡ لَهُوَ خَيۡرٞ لِّلصَّـٰبِرِينَ ١٢٦ وَٱصۡبِرۡ وَمَا صَبۡرُكَ إِلَّا بِٱللَّهِۚ وَلَا تَحۡزَنۡ عَلَيۡهِمۡ وَلَا تَكُ فِي ضَيۡقٖ مِّمَّا يَمۡكُرُونَ ١٢٧ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلَّذِينَ ٱتَّقَواْ وَّٱلَّذِينَ هُم مُّحۡسِنُونَ ١٢٨
“Dan jika kamu memberikan balasan, maka balaslah dengan balasan yang sama dengan seksaan yang ditimpakan kepadamu. Akan tetapi, jika kamu bersabar, sesungguhnya itulah yang lebih baik bagi orang-orang yang sabar. (126) Bersabarlah (wahai Muhammad) dan tiadalah kesabaranmu itu melainkan dengan pertolongan Allah dan janganlah kamu bersedih hati terhadap (kekafiran) mereka dan janganlah kamu bersempit dada terhadap apa yang mereka tipu dayakan. (127) Sesungguhnya, Allah berserta orang-orang yang bertaqwa dan orang-orang yang berbuat kebaikan. (128)” [Surah al-Nahl: 126-128]
Maka, maaf dan keampunan kepada saudara seagama dan sebangsa lebih diutamakan kerana mendapat kelebihan kesempurnaan iman dan fadilat hubungan silaturahim.
Konsep yang tidak menyerah kalah, bahkan tetap berjuang meninggikan Islam mengatasi yang lain demi menyelamatkan seluruh manusia. Firman Allah SWT:
هُوَ ٱلَّذِيٓ أَرۡسَلَ رَسُولَهُۥ بِٱلۡهُدَىٰ وَدِينِ ٱلۡحَقِّ لِيُظۡهِرَهُۥ عَلَى ٱلدِّينِ كُلِّهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡمُشۡرِكُونَ ٩
“Dialah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar agar Dia memenangkannya atas segala agama-agama meskipun orang Musyrik membenci.” [Surah al-Saff: 9]
PAS tidak pernah mengkhianati perjanjian dengan semua pihak dan tidak lemah atau mundur dalam semua kerjasama dengan pihak lain. Hanya segelintir yang gugur dalam perjalanan, namun lebih ramai lagi bersama PAS apabila mereka mengenali PAS dari dekat ketika bersama, dan mereka mengiktiraf bahawa PAS beristiqamah atas prinsipnya.
Islam telah menempa sejarah keemasan dalam negara paling luas sempadan wilayahnya merangkumi tiga benua iaitu Asia, Afrika dan Eropah. Malah, Islam telah berjaya mencipta tamadun Islam yang dimanfaatkan oleh seluruh dunia sehingga kini.
Maka, bangsa Melayu Islam perlu berusaha mengembalikan semula kedaulatan Islam bagi menyelamatkan dunia, kerana wilayah alam Melayu mempunyai jumlah penganut Islam terbesar, majoriti penduduknya beragama Islam, kaya dengan sumber manusia yang terdiri daripada kalangan masyarakat majmuk dan sumber alam kurniaan Allah, serta diberikan kelebihan kedudukan dari segi geografi yang strategik dalam jajaran hubungan antarabangsa.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 22 Rajab 1447 / 12 Januari 2025
[Bil: 3 / 2026]

