Minda Presiden PAS

Kita wajib membebaskan bangsa kita daripada kejahilan agama yang mewajibkan kita bersatu menjadi bangsa yang kuat. Inilah yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW yang bertindak menyatukan kabilah Arab dan semua kumpulannya.
Oleh yang demikian, kita wajib mengambil teladan daripada Rasulullah SAW ini dengan menyatukan kumpulan bangsa kita yang berpecah terutamanya, kerana perbezaan pendekatan politik bukannya perbezaan aqidah dan ideologi, khususnya antara perlembagaan PAS dengan perlembagaan UMNO.
Malangnya, perbezaan pendekatan dijadikan sebab untuk berpecah sehingga ada kalangan UMNO yang terlanjur menganggap PAS lebih bahaya daripada DAP yang nyata ekstremnya, lalu mendakap DAP dan meninggalkan PAS kerana faktor sampingan dan jawatan. Inilah satu pendekatan yang salah dari segi agama kita.
DAP dan kumpulan ekstremnya menjadikan penyertaan kalangan UMNO untuk membina kedudukan yang lebih kuat bagi mengekalkan kuasa politik mereka dalam kabinet serta melakukan tindakan politik yang membahayakan kedudukan Melayu dan Islam.
Kalangan bukan Islam yang tidak ekstrem pula tidak perlu bimbang dan khuatir akan kedudukan mereka bersama Islam kerana panduan kitab suci al-Quran yang diimani lebih wajib ditunaikan daripada manifesto pilihan raya.
Demi perpaduan umat, maka Rasulullah SAW memaafkan kesalahan jenayah yang besar terhadap mereka yang terlibat melakukannya pada masa Islam belum berkuasa.
Kemaafan dan keampunan bukan sahaja diberikan kepada bangsa Arab yang memeluk Islam, bahkan kepada kaum bukan Islam yang berjanji setia bersama kerajaan Islam.
Oleh itu, keadaan ketegangan yang berlaku antara PAS, UMNO, BERSATU dan beberapa kumpulan, termasuk kumpulan bukan Islam pada masa ini adalah tidak sama dengan kezaliman yang berlaku terhadap Rasulullah SAW pada zamannya. Maka, fikirlah dengan bijak dan matang yang membawa kesejahteraan dan keamanan kepada semua.
Baca selanjutnya:

