Bekalan bantuan air kecemasan kepada penduduk terbabit – Air Selangor

KUALA LUMPUR: Penduduk-penduduk yang terbabit dengan gangguan bekalan air ekoran Loji Rawatan Air Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas, dinasihatkan agar mendapatkan bantuan air kecemasan di Pusat Khidmat Setempat (PKS) yang telah dibuka pada jam 6 petang tadi.

Pengurusan Air Selangor Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan hari ini, berkata ia bagi mengelakkan penduduk yang berada di kawasan gangguan bekalan air berkenaan, iaitu di Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat, Sepang serta sebahagian kawasan Putrajaya, lewat menerima bekalan air melalui lori tangki.

“Bantuan bekalan air kecemasan sedang giat digerakkan kepada pengguna-pengguna terbabit menerusi lori-lori tangki, dengan keutamaan diberikan kepada pengguna dan premis kritikal serta kecemasan termasuk hospital,” menurut kenyataan itu.

Di Hulu Langat, PKS terlibat adalah di berdekatan Flat Seksyen 4, Persiaran Pekeliling, Seksyen 4 Bandar Baru Bangi; hadapan Pustaka Rakyat Bandar Puteri, Bukit Mahkota; berhadapan Kedai Nasi Kukus To’we, Jalan Kesuma 3/1, Bandar Tasik Kesuma, Beranang; Jalan 4/12 Sek 4 Tambahan Bandar Baru Bangi, dan Jalan 1/1 Sek 1 Bandar Baru Bangi.

Kenyataan itu memaklumkan pihak Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden ini dari masa ke semasa, menerusi semua medium khususnya media massa.

Loji Rawatan Air Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas sepenuhnya hari ini ekoran insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih, yang dipercayai berpunca daripada Loji Rawatan Kumbahan (LRK) Indah Water Konsortium Bukit Mahkota.

Tindakan untuk mengatasi masalah itu kini giat dilakukan pihak Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dengan kaedah pendosan ‘activated carbon’ (AC). – BERNAMA

Sumber:

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/12/640677/bekalan-bantuan-air-kecemasan-kepada-penduduk-terbabit-air-selangor/amp

Author: matlangat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *