Minda Presiden PAS
Firman Allah:
﴿وَإِنۡ أَحَدٞ مِّنَ ٱلۡمُشۡرِكِينَ ٱسۡتَجَارَكَ فَأَجِرۡهُ حَتَّىٰ يَسۡمَعَ كَلَٰمَ ٱللَّهِ ثُمَّ أَبۡلِغۡهُ مَأۡمَنَهُۥۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمۡ قَوۡمٞ لَّا يَعۡلَمُونَ٦﴾
“Dan jika seseorang daripada kaum musyrik meminta perlindungan kepadamu, maka berilah perlindungan kepadanya sehingga dia sempat mendengar keterangan-keterangan Allah (tentang hakikat Islam itu), kemudian hantarlah dia ke mana-mana tempat yang dia beroleh aman. Perintah tersebut ialah kerana mereka itu kaum yang tidak mengetahui (hakikat Islam)”. (Surah At-Taubah: 6)
Al-Quran menegaskan kewajipan memberi perlindungan kepada pelarian bukan Islam mendahului lebih seribu tahun daripada konvesyen antarabangsa berkenaan pelarian.
Walaupun Islam mewajibkan berdakwah, namun tiada paksaan dalam beragama Islam dan tetap diberi keamanan serta keselamatan mengikut pilihan kerajaan Islam, sama ada diizinkan berada dalam negara Islam atau diserah ke negara ketiga yang selamat dan aman.
Konvensyen yang berkaitan dengan Status Pelarian dikenali sebagai Konvensyen Pelarian 1951 adalah perjanjian multilateral Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menentukan siapa pelarian, dan menetapkan hak individu yang diberikan suaka dan tanggungjawab negara-negara yang memberikan suaka.
Konvensyen Pelarian itu digubal berasaskan kepada Perkara 14, Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia 1948, yang mengakui hak orang untuk mencari suaka dari penganiayaan di negara lain, sama ada kerana berbeza agama atau sebab-sebab yang lain.
Terkini India memperkenalkan Rang Undang-undang (RUU) yang bakal memudahkan dan mempercepatkan proses memberi kerakyatan kepada pendatang asing di negara terbabit.
Bagaimanapun, RUU tersebut hanya terpakai sekiranya pendatang tersebut bukan beragama Islam.
Laporan CNN menyatakan RUU Pindaan Kerakyatan itu akan membolehkan pendatang yang terdiri daripada pelbagai latar belakang agama seperti Kristian, Hindu dan Buddha serta etnik minoriti lain dari Afghanistan, Bangladesh dan Pakistan mendapat kerakyatan dengan lebih cepat.
Tiada apa-apa laporan berita bahawa penganut bukan Islam ditindas di negara-negara tersebut, kerana Islam tetap mewajibkan hak kemanusiaan dipelihara terhadap sesama manusia, walaupun berlainan agama dan bangsa.
RUU tersebut sudah dipersetujui oleh Parlimen India dengan keputusan 311 menyokong dan 80 menolak. Ia hanya menunggu masa untuk dihantar dan ditandatangani Presiden, Ram Nath Kovind.
Tindakan tersebut adalah budaya pilih kasih atau ‘double standard’ paling ketinggalan di zaman bertamadun terkini yang dikenakan terhadap umat Islam yang banyak berjasa kepada tamadun seluruh dunia termasuk India, dan tidak menghargai moral umat Islam terhadap sifat perikemanusiaan yang masih terpelihara, walaupun Islam dalam keadaan tiada negara yang kuat menaunginya.
Mahatma Ghandi dan Jawaharlal Nehru, bapa-bapa kemerdekaan India yang kuat beragama Hindu, berpegang kepada konsep demokrasi sekular dalam berpolitik, kerana tiada konsep politik dalam agama Hindu. Dalam masa yang sama, mereka dapat mengatasi masalah kasta dalam agama Hindu yang sudah ketinggalan zaman dalam kehidupan manusia bermasyarakat Madani. Maka India dapat ditadbir dengan mengatasi masalah masyarakat majmuk.
Oleh itu, perubahan yang berlaku di India kini mengundang masalah besar kepada negaranya sendiri, sama ada dalam negara atau hubungan antarabangsa.
Sepatutnya India terasa malu kepada Malaysia khususnya yang telah menerima pendatang India yang dibawa oleh penjajah menjadi warganegara Malaysia yang tidak lagi mahu pulang ke India.
Sepatutnya juga India menyedari betapa ramainya kaum India diterima menjadi pekerja dan bermaustautin di negara umat Islam, khususnya negara Arab yang paling rapat dengan Islam.
Adalah tidak wajar sebuah negara besar seperti India boleh terpengaruh dengan propaganda Islamofobia yang ditaja oleh Barat terhadap umat Islam.
Apakah negara seperti India boleh terpengaruh dengan Barat yang pernah menjajahnya, sehingga merasakan dirinya sebahagian daripada dunia Barat, bukan berada di benua Asia?
Apakah India belum merdeka maruah dan jiwanya, walaupun penjajah Barat sudah keluar daripada buminya?
“Islam Memimpin Perpaduan”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 27 Rabiul Akhir 1441 / 24 Disember 2019