Terima kasih Dr Maszlee Malik

KENYATAAN RASMI DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA

3 Januari 2020 | 8 Jamadil Awal 1441 H

  1. Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengucapkan terima kasih kepada Dr Maszlee Malik atas khidmat bakti beliau sepanjang menggalas tugas selaku Menteri Pendidikan. Adalah suatu kerugian yang amat besar apabila seorang ahli akademik sepertinya membuat keputusan untuk meninggalkan kabinet, di saat beliau sedang bertatih dan cuba beradaptasi dengan beberapa penambahbaikan yang diperkenalkan sepanjang 20 bulan memegang jawatan.
  2. Sekalipun prestasinya dilihat kurang memberangsangkan, namun banyak polisi-polisi penting dan bermanfaat yang telah dilaksanakan olehnya seperti Program Sarapan Percuma, penambahbaikan infrastruktur sekolah daif, penambahbaikan fasiliti untuk pelajar OKU dan pertukaran guru ‘suka sama suka’. Malah DPPM sendiri pernah merancang pertemuan dengan beliau bagi mengemukakan cadangan-cadangan penyelesaian dan penambahbaikan berkenaan isu-isu pendidikan, namun malangnya tidak berkesempatan. Kami percaya perletakan jawatan beliau di saat persekolahan baru bermula, sudah pasti akan melemahkan semangat warga pendidik.
  3. DPPM turut menzahirkan kebimbangan sekiranya perletakan jawatan beliau adalah bermotifkan politik, dan wujud ‘tangan-tangan’ lain di belakang yang mahukan beliau disingkirkan dari kabinet. Umum mengetahui Dr Maszlee sendiri telah melaksanakan pengenalan pembelajaran tulisan jawi di sekolah vernakular, dan mendapat tentangan yang hebat dari berbagai pihak termasuk dalam kerajaan sendiri. Dr Maszlee juga telah menamatkan tender 1Bestari.Net di sekolah-sekolah pada Julai tahun lepas. Adakah perletakan jawatan beliau ada kaitan dengan kesemua peristiwa ini? Jika alasan pengunduran beliau adalah kerana prestasinya, mengapa Menteri lain yang prestasinya lebih buruk tidak diarahkan meletak jawatan sama?
  4. Di sebalik apa yang berlaku, semua pihak harus menghormati keputusan yang dibuat oleh Dr Maszlee Malik. Beliau telah melakukan pengunduran secara terhormat dan secara ‘gentleman’. Semoga Dr. Maszlee akan terus berkhidmat sebagai seorang Ahli Parlimen dan terus menyumbang idea untuk kemajuan pendidikan di Malaysia. Besar harapan kami agar orang yang menggantikan Dr Maszlee adalah orang yang berkelayakan dan turut mempunyai semangat yang tinggi dalam pendidikan. Segala polisi baik yang diperkenalkan oleh beliau haruslah diteruskan bagi melancarkan gerak kerja KPM, dan apa yang kurang diperbaiki agar kualiti pendidikan kita terus meningkat.
  5. DPPM turut memberi amaran keras kepada kerajaan supaya tidak melantik orang yang tidak kompeten untuk menggantikan Dr Maszlee, khususnya mereka yang menolak pengenalan tulisan jawi di sekolah dan mereka yang mempunyai agenda tersembunyi seperti mengiktiraf UEC yang tidak selaras dengan falsafah pendidikan negara. Sekiranya golongan ini dilantik sebagai Menteri Pendidikan, institusi pendidikan akan terus hancur dek diuruskan oleh tangan-tangan yang salah. Gantikan Dr Maszlee dengan orang yang setara, atau yang lebih baik dari beliau.

Terima kasih Dr Maszlee.

https://www.hmetro.com.my/utama/2020/01/531359/maszlee-malik-letak-jawatan-metrotv

Author: matlangat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *