DESAKAN LARANGAN PERGERAKAN LORI KUARI KETIKA WAKTU PUNCAK.

KENYATAAN RASMI PAS KAWASAN HULU LANGAT
[PKHL/KR/01/2022]

DESAKAN LARANGAN PERGERAKAN LORI KUARI KETIKA WAKTU PUNCAK.

1. Berita kemalangan menyayat hati seorang pelajar sekolah 10 tahun yang digilis lori di Bukit Mertajam Pulau Pinang semalam perlu menjadi iktibar buat kita semua warga penduduk di Hulu Langat.

2. PAS Kawasan Hulu Langat (PKHL) bersetuju dan bersama dengan seluruh penduduk Hulu Langat mendesak agar satu arahan segera dikeluarkan oleh pihak berkuasa ke atas lori-lori pembinaan yang membawa batu-batu kuari Sg Long dihalang melalui jalan Hulu Langat ketika waktu puncak.

3. Merujuk kepada laporan Persidangan DUN Selangor menyatakan purata 583 buah lori keluar masuk sehari telah direkodkan pada tahun 2020 sebelum perlaksanaan perintah kawalan pergerakan PKP dikuatkuasakan, dimana waktu operasi yang ditetapkan ketika itu adalah dari jam 3.00 pagi sehingga 6.00 pagi dan 9.00 pagi sehingga 5.00 petang.

4. PKHL beranggapan bahawa jumlah lori dan waktu operasi ini perlu dikaji semula dan larangan pergerakan lori-lori kuari ini perlu dibuat bukan sahaja ketika waktu orang ramai keluar pergi balik bekerja malah perlu dilaksanakan ketika waktu puncak persekolahan pagi, tengahari dan petang kerana laluan jalan utama Hulu Langat ini melibatkan keselamatan anak murid di beberapa sekolah terutama SRA Dusun Tua, SK Sg Serai dan SK Batu 9.

5. Desakan ini juga turut melibatkan baik pulih jalan raya dan penguatkuasaan ke atas waktu operasi lori yang perlu dipertingkatkan kerana terdapat aduan penduduk yang terancam keselamatan mereka akibat kerosakan jalan raya dan pergerakan lori diluar waktu operasi yang dibenarkan.

6. Jangan sampai sudah terhantuk baru tengadah, sebelum ini segala desakan sudah dibuat oleh pelbagai pihak dan PAS sendiri melalui surat terbuka cadangan YDP PAS kepada JKR bertarikh 31 Julai 2019 telah diusulkan namun masih tidak ada tindakan dan penyelesaian yang tuntas dari pihak berkuasa terutama dari Adun Dusun Tua YB Edry Faizal dan Ahli Perlimen Hulu Langat YB Hasanuddin Mohd Yunus.

Jangan sampai kes kehilangan nyawa anak sekolah berlaku baru hendak menggelabah untuk ambil tindakan ini.”Suara rakyat Hulu Langat, suara penuh keramat”

#PasHuluLangat #KeluargaMalaysia #IslamMemperkukuhPerpaduanUmmah

Muhammad Jan Bin Sulong
Yang Dipertua PAS Kawasan Hulu Langat
20 Mei 2022 / 19 Syawal 1443H

LAJNAH PENERANGAN DAN MEDIA BAHARU PAS KAWASAN HULU LANGAT

Author: Shehdi Hazrik

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *