Minda Presiden PAS : Apabila Umat Islam Tidak Berpolitik.

Ahad |16 Julai 2023

Di samping beribadat kepada Allah yang Maha Esa, Allah SWT juga telah menetapkan bahawa salah satu tujuan manusia diciptakan di dunia ialah berpolitik (mentadbir urusan dunia mengikut sempadannya). Hal ini dijelaskan oleh firman-Nya:

﴿وَإِذۡ قَالَ رَبُّكَ رَبُّكَ لِلْمَلَـٰٓئِكَةِ إِنِّي جَاعِلٞ فِي ٱلۡأَرۡضِ خَلِيفَةٗۖ قَالُوٓاْ أَتَجۡعَلُ فِيهَا مَن يُفۡسِدُ فِيهَا وَيَسۡفِكُ ٱلدِّمَآءَ وَنَحۡنُ نُسَبِّحُ بِحَمۡدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَۖ قَالَ إِنِّيٓ أَعۡلَمُ مَا لَا تَعۡلَمُونَ٣٠﴾

“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, ‘Sesungguhnya, Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.’ Mereka berkata, ‘Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan menyucikan Engkau?’ Tuhan berfirman, ‘Sesungguhnya, Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.’” (Surah al-Baqarah: 30)

Para ulama’ tafsir dan fuqaha’ menyatakan bahawa khilafah itu ialah siasah (politik) mentadbir negara dengan hukum Islam yang menjadi salah satu hikmah manusia dijadikan oleh Allah SWT. Sehinggakan, politik dimasukkan dalam agenda dakwah para rasul kepada Islam yang sempurna dan ia tidak boleh dipisahkan sekali-kali. Perkara ini boleh dilihat dalam semua kitab tafsir dan fiqh yang muktabar.

Seterusnya, ditafsirkan secara praktikal oleh Sunnah Nabawiyyah Amaliyyah yang mutawatirah (riwayat yang ramai) daripada Rasulullah SAW dan ijmak para ulama’ sahabat, tabiin dan generasi seterusnya.

Ada kalangan ulama’ yang menulis tajuk khusus secara terperinci dan menamakannya Siasah Syar‘iyyah atau al-Ahkam al-Sultaniyyah (Imam al-Mawardi), Ghiyath al-Umam (Imam al-Haramain al-Juwainy) dan lain-lain, atau bab yang khusus seperti al-Muqaddimah (Ibn Khaldun) dan al-Iqtisad Fi al-I‘tiqad (Imam al-Ghazali). Dalam kitab-kitab ini dihuraikan semua aspek berkaitan politik, sama ada sistem khilafah atau raja berperlembagaan.

Allah SWT menegaskan lagi dalam al-Quran bahawa politik itu juga termasuk sebahagian daripada tugas kerasulan Nabi Muhammad SAW. Perkara ini ditegaskan oleh firman-Nya:

﴿هُوَ ٱلَّذِيٓ أَرۡسَلَ رَسُولَهُۥ بِٱلۡهُدَىٰ وَدِينِ ٱلۡحَقِّ لِيُظۡهِرَهُۥ عَلَى ٱلدِّينِ كُلِّهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡمُشۡرِكُونَ٩﴾

“Dialah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar (Islam) agar Dia memenangkannya atas segala agama-agama (dan ideologi) meskipun orang Musyrik membenci.” (Surah al-Saff: 9)

Meninggalkan urusan politik bermakna menentang salah satu ketetapan Allah SWT yang telah mencipta manusia dan urusan para rasul. Dalam pada itu, Allah SWT menegaskan bahawa urusan memilih pemimpin termasuk daripada perkara yang akan dipersoalkan pada Hari Kiamat kelak. Firman Allah SWT:

﴿يَوۡمَ نَدۡعُواْ كُلَّ أُنَاسِۢ بِإِمَٰمِهِمۡۖ فَمَنۡ أُوتِيَ كِتَٰبَهُۥ بِيَمِينِهِۦ فَأُولَـٰٓئِكَ يَقۡرَءُونَ كِتَٰبَهُمۡ وَلَا يُظۡلَمُونَ فَتِيلٗا٧١وَمَن كَانَ فِي هَٰذِهِۦٓ أَعۡمَىٰ فَهُوَ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ أَعۡمَىٰ وَأَضَلُّ سَبِيلٗا٧٢﴾

“(Ingatlah) suatu hari (Hari Kiamat) ketika Kami menyeru tiap-tiap umat dengan pemimpinnya; kemudian sesiapa yang diberikan kitab amalannya pada tangan kanannya, maka mereka itu akan membaca kitabnya itu (dengan sukacita) dan mereka tidak dianiaya sedikit pun. (71) Dan sesiapa yang buta (hatinya) di dunia ini, nescaya di akhirat (nanti) dia akan lebih buta (pula) dan lebih tersesat dari jalan (yang benar). (72)” (Surah al-Isra’: 71-72)

Rasulullah SAW menunjukkan secara praktikal urusan politik menegakkan negara dengan perintah Allah, sehingga Baginda SAW terpaksa berhijrah dan berjuang bersama para sahabat RA dengan penuh pengorbanan. Kemudian, peranan itu disambung oleh mereka yang setia sepanjang zaman secara berjemaah.

Allah SWT memberi amaran terhadap umat Islam apabila mereka meninggalkan kewajipan memenangkan Islam sehingga berkuasa. Firman Allah SWT:

﴿يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مَا لَكُمۡ إِذَا قِيلَ لَكُمُ ٱنفِرُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱثَّاقَلۡتُمۡ إِلَى ٱلۡأَرۡضِۚ أَرَضِيتُم بِٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا مِنَ ٱلۡأٓخِرَةِۚ فَمَا مَتَٰعُ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا فِي ٱلۡأٓخِرَةِ إِلَّا قَلِيلٌ٣٨ إِلَّا تَنفِرُواْ يُعَذِّبۡكُمۡ عَذَابًا أَلِيمٗا وَيَسۡتَبۡدِلۡ قَوۡمًا غَيۡرَكُمۡ وَلَا تَضُرُّوهُ شَيۡ‍ٔٗاۗ وَٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٌ٣٩﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Apakah sebabnya bila dikatakan kepadamu, ‘Berangkatlah (untuk berjuang) pada jalan Allah’, kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempatmu? Apakah kamu puas dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat? Padahal keni‘matan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat kelak hanyalah sedikit. (38) Jika kamu tidak berangkat untuk berjuang, nescaya Allah akan menyeksa kamu dengan azab seksa yang pedih dan Dia akan menggantikan (kamu) dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat memberikan kemudaratan kepada-Nya sedikit pun. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu. (39)” (Surah al-Tawbah: 38-39)

Ayat di atas ditujukan kepada mereka yang bakhil dengan harta dan dirinya bagi berkorban memenangkan Islam.

Sabda Rasulullah SAW:

بَدَأَ الإِسْلاَمُ غَرِيبًا وَسَيَعُودُ كَمَا بَدَأَ غَرِيبًا فَطُوبَى لِلْغُرَبَاءِ.

“Islam datang dalam keadaan dagang, akan kembali pula dalam keadaan dagang. Sungguh beruntunglah orang yang dagang.” (Riwayat Muslim, Kitab al-Iman, No. 145)

Islam menjadi dagang dengan tindakan meminggirkan politik Islam dan menghapuskannya pada zaman merebaknya kejahilan agama sehingga tanah air umat Islam berpecah dan dijajah. Khususnya pada zaman penjajah yang merancang bagi melumpuhkan umat Islam. Fahaman sekularisme yang telah merosakkan Ahli Kitab daripada golongan Yahudi dan Nasrani dipengaruhi oleh kitab Injil yang telah diselewengkan, sehingga mencipta aliran sekularisme.

Kemudian, sekularisme dijadikan senjata serangan pemikiran yang melumpuhkan umat Islam di seluruh pelosok dunia, sehingga kerajaan Turki ‘Uthmaniyyah yang merupakan kuasa besar pada waktu itu digulingkan. Akibatnya, tanah air umat Islam kehilangan penaung yang kuat, sehinggakan seluruh dunia Islam dijajah.

Snouck Hurgronje, orientalis Belanda yang terkenal pernah membuat kenyataan terbuka tentang bahaya politik Islam:

“Tidak berbahaya sekiranya dibiarkan umat Islam beribadat sahaja, namun sangat bahaya jika mereka berpolitik kembali semula bagi menegakkan kerajaannya. Tidak berbahaya jika ulama’ hanya mengajar agama sahaja tanpa mengajar tentang politik. Adalah sangat berbahaya jika membawa pendekatan untuk kembali semula kepada pemerintahan Khilafah (politik Islam).”

Maka, kerajaan penjajah melarang umat Islam daripada menyampaikan pengajian dan khutbah yang membawa kefahaman politik Islam, melalui undang-undang yang dikuatkuasakan atas nama pentadbiran hal ehwal agama Islam bagi mengawal kegiatan ilmu dan mengepungnya.

Apabila mereka gagal memurtadkan penganut Islam supaya meninggalkan Islam sepenuhnya, lalu mereka membuat perancangan lain dengan cara memberikan kefahaman yang salah terhadap Islam sedikit demi sedikit. Sabda Rasulullah SAW:

لَتَتَّبِعُنَّ سَنَنَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ، شِبْرًا بِشِبْرٍ وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ، حَتَّى لَوْ دَخَلُوا فِي جُحْرِ ضَبٍّ لَاتَّبَعْتُمُوهُمْ. قُلْنَا: يَا رَسُولَ اللهِ آلْيَهُودَ وَالنَّصَارَى؟ قَالَ: فَمَنْ.

“Sungguh kalian akan terikut-ikut perjalanan sesat umat terdahulu sebelum kamu sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta (sedikit demi sedikit) sehingga jika orang-orang yang kamu ikuti itu masuk ke lubang biawak (padang pasir), pasti kamu pun akan mengikutinya.” Kami (para sahabat) bertanya, “Wahai Rasulullah! Mereka itu Yahudi dan Nasrani?” Baginda menjawab, “Lantas siapakah lagi?” (Riwayat al-Bukhari, Kitab Ahadith al-Anbiya’, No. 3456, Muslim, Kitab al-‘Ilm, No. 2669 dan lain-lain)

Pada zaman penjajah dahulu, mereka hanya membantu urusan agama yang berkaitan dengan aspek kekeluargaan dan ibadat sahaja, termasuk ibadat haji. Malah, mereka juga menyediakan kemudahan pengangkutan, perubatan dan bantuan-bantuan kebajikan yang lain, termasuklah kemudahan masjid dan madrasah.

Pada masa yang sama, mereka menghalang Islam daripada berkuasa dalam pemerintahan negara mengikut perintah Allah dalam al-Quran dan sebagaimana yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah SAW, para sahabat dan tabiin yang menjadi Uli al-Amri. Uli al-Amri dipilih daripada kalangan para umara’ yang melaksanakan hukum dan ulama’ yang memelihara agama Islam dari segi ilmu. Firman Allah SWT:

﴿إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا٥٨ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا٥٩﴾

“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu menunaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum antara manusia hendaklah kamu menetapkannya dengan adil. Sesungguhnya, Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya, Allah adalah Maha Mendengar, lagi Maha Melihat. (58) Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul-Nya, dan Uli al-Amri (ulama’ dan umara’) antara kamu. Kemudian, jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnah), jika kalian benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Hal yang demikian itu lebih utama (bagi kamu) dan lebih baik akibatnya. (59)” (Surah al-Nisa’: 58-59)

Amanah terbesar ialah mempertahankan kepimpinan politik Islam, sebaliknya meninggalkannya adalah suatu pengkhianatan terbesar dalam urusan agama Islam. Ulil Amri ialah para pemimpin negara yang melaksanakan hukum dan para ulama’ pula yang memelihara ilmunya.

Imam al-Ghazali menegaskan dalam tulisannya:

الدِّينُ ‌أُسٌّ ‌وَالسُّلْطَانُ ‌حَارِسٌ وَمَا لَا أُسَّ لَهُ فَمَهْدُومٌ وَمَا لَا حَارِسَ لَهُ فَضَائِعٌ.

“Agama itu asas, kuasa pemerintahan (politik) itu pengawas. Apa yang tidak ada asasnya akan runtuh; dan apa yang tidak ada pengawasnya akan hilang.” (Al-Ghazali, al-Iqtisad fi al-I‘tiqad, Hlm. 128)

Rasulullah SAW telah memberi amaran berlakunya penyelewengan dengan dihilangkan ajaran Islam pada akhir zaman, sepertimana sabdanya:

‌لَتُنْقَضَنَّ ‌عُرَى ‌الْإِسْلَامِ ‌عُرْوَةً ‌عُرْوَةً، فَكُلَّمَا انْتَقَضَتْ عُرْوَةٌ تَشَبَّثَ النَّاسُ بِالَّتِي تَلِيهَا، وَأَوَّلُهُنَّ نَقْضًا الْحُكْمُ وَآخِرُهُنَّ الصَّلَاةُ.

“Demi sesungguhnya akan berlaku nanti, ikatan bagi memelihara ajaran Islam (yang teguh) akan dirungkai (dirombak) satu demi satu. Maka, apabila satu demi satu dirungkai menjadikan para penganut Islam berselerak dan berpaut dengan simpulan berikutnya (yang masih ada). Maka, simpulan pertama yang dirombak ialah (pelaksanaan) hukum Islam dan simpulan terakhir yang dirombak ialah (pelaksanaan) solat.” (Riwayat Ahmad, Tatimmah Musnad al-Ansar, No. 22160, Ibn Hibban, Kitab al-Tarikh, No. 6715 dan lain-lain)

Akibatnya, banyak ajaran Islam yang sempurna dihilangkan satu demi satu.

Akibat meninggalkan politik Islam, kini berlaku kehinaan kepada umat Islam, seperti yang telah disebutkan oleh hadis Rasulullah SAW melalui sabdanya:

يُوشِكُ ‌الْأُمَمُ ‌أَنْ ‌تَدَاعَى ‌عَلَيْكُمْ كَمَا تَدَاعَى الْأَكَلَةُ إِلَى قَصْعَتِهَا.

“Hampir tiba masanya berlaku keadaan kamu umat-umat yang ramai akan dikepung oleh beberapa umat dalam kalangan musuh, laksana mereka yang berkumpul itu menghadapi hidangan makanan yang lazat.”

فَقَالَ قَائِلٌ: وَمِنْ قِلَّةٍ نَحْنُ يَوْمَئِذٍ؟

Lalu seorang sahabat bertanya: “Adakah pada masa itu jumlah kita (umat Islam) sedikit?”

قَالَ: بَلْ أَنْتُمْ يَوْمَئِذٍ كَثِيرٌ، وَلَكِنَّكُمْ غُثَاءٌ كَغُثَاءِ السَّيْلِ، وَلَيَنْزَعَنَّ اللَّهُ مِنْ صُدُورِ عَدُوِّكُمُ الْمَهَابَةَ مِنْكُمْ، وَلَيَقْذِفَنَّ اللَّهُ فِي قُلُوبِكُمُ الْوَهْنَ.

Sabda Rasulullah SAW: “Bahkan jumlah kamu ramai, tetapi laksana sampah sarap dan buih yang dibawa arus banjir (lemah, ringan, timbul terapung dan hanyut). Allah menghilangkan rasa kehebatan terhadap kamu dalam hati musuh-musuh kamu, dan dicampakkan ke dalam hati kamu penyakit al-wahan (kehinaan).”

فَقَالَ قَائِلٌ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَمَا الْوَهْنُ؟

Kemudian, salah seorang sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah! Apakah itu penyakit kehinaan itu?”

قَالَ: حُبُّ الدُّنْيَا، وَكَرَاهِيَةُ الْمَوْتِ.

Sabda Rasulullah SAW: “Penyakit terlalu sayangkan keduniaan dan takut akan mati.” (Riwayat Abu Dawud, Awwal Kitab al-Malahim, No. 4297 dan Ahmad, Tatimmah Musnad al-Ansar, No. 22397)

Khalifah ‘Uthman bin ‘Affan RA pernah berkata:

‌إِنَّ ‌اللَّهَ ‌لَيَزَعُ ‌بِالسُّلْطَانِ مَا لَا يَزَعُ بِالْقُرْآنِ.

“Sesungguhnya, Allah menghapuskan (kemungkaran) dengan kuasa pemerintah (politik) apa yang tidak boleh dihapuskan oleh al-Quran (yang sekadar dibaca sahaja).”

Hadis ini menggambarkan perkara akan datang yang dimaklumkan oleh Allah kepada Rasulllah SAW.

Hari ini, kita menyaksikan kelemahan dan kehinaan umat Islam, walaupun jumlah mereka kini lebih daripada satu bilion dan dilimpahi dengan hasil bumi yang banyak kurniaan Allah SWT. Namun begitu, mereka dalam keadaan yang sangat lemah kerana tiada kuasa politik, akibat meninggalkan amanah Allah yang besar kepada mereka.

Mereka diseksa dengan pemerintah yang lemah dan zalim, kenaikan harga barangan keperluan hidup, pengangguran, menjadi pekerja kepada orang lain, dan berbagai-bagai penyakit sosial. Sehinggakan, musuh Islam berani membakar kitab suci al-Quran, di samping memeras kekayaan bumi dan tenaga kita.

Walaupun Allah SWT tetap memelihara al-Quran, namun umat Islam menerima laknat oleh Allah kerana tidak mampu mempertahankan al-Quran lantaran tidak mempunyai kuasa politik. Khususnya, apabila mereka meninggalkan kewajipan amar ma‘ruf dan nahi munkar yang sangat besar dalam Islam.

Bahkan, mereka juga tidak mahu bersama kumpulan Islam yang masih ingin mempertahankan Islam, walaupun ia diwajibkan oleh Allah SWT. Hal ini sebagaimana firman-Nya:

﴿وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٞ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ وَأُولَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ١٠٤﴾

“Dan hendaklah ada antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada perkara yang ma‘ruf dan mencegah daripada perkara yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung.” (Surah Ali ‘Imran: 104)

Sabda Rasulullah SAW:

لَتَأْمُرُنَّ بِالْمَعْرُوفِ، وَلَتَنْهَوُنَّ عَنِ الْمُنْكَرِ أَوْ لَيُسَلِّطَنَّ اللَّهُ عَلَيْكُمْ شِرَارَكُمْ، فَلَيَسُومُنَّكُمْ سُوءَ الْعَذَابِ، ثُمَّ يَدْعُو خِيَارُكُمْ فَلا يُسْتَجَابُ لَهُمْ.

“Kamu hendaklah menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran atau (kalau kamu meninggalkannya), nescaya Allah akan menjadikan orang-orang yang jahat berkuasa memerintah kamu, lalu kamu ditimpa azab yang seburuk-buruknya. Kemudian, orang-orang yang baik dalam kalangan kamu berdoa, maka Allah tidak memperkenankan doanya.” (Riwayat al-Suyuti dalam al-Jami‘ al-Kabir, Hlm. 254 dan diriwayatkan juga oleh al-Tirmizi, Abwab al-Fitan, No. 2169 dengan sedikit perbezaan lafaz)

Benarlah sabda Rasullullah SAW apabila umat Islam sekarang diperintah oleh mereka yang jahat, suka berbohong, mengambil rasuah, dan melakukan berbagai-bagai maksiat yang nyata dan tersembunyi. Semua ini kesan daripada umat Islam meninggalkan kewajipan politik memilih pemimpin untuk mendapat kuasa kepimpinan Islam, dalam keadaan bukan Islam pula berlumba-lumba keluar mengundi bagi merampas kuasa politik.

Pelbagai penipuan dilakukan bagi mengelirukan umat Islam dengan mengekalkan jenama Islam tanpa kuasa tertinggi dalam Perlembagaan Persekutuan, sehingga hukum Allah menjadi lebih rendah daripada hukum manusia.

Lebih membahayakan lagi, apabila melihat kalangan berilmu yang meletakkan akalnya ke dalam perut, bukan dijunjung di atas kepala. Allah SWT menceritakan sejarah yang berlaku pada zaman dahulu:

﴿وَٱتۡلُ عَلَيۡهِمۡ نَبَأَ ٱلَّذِيٓ ءَاتَيۡنَٰهُ ءَايَٰتِنَا فَٱنسَلَخَ مِنۡهَا فَأَتۡبَعَهُ ٱلشَّيۡطَٰنُ فَكَانَ مِنَ ٱلۡغَاوِينَ١٧٥ وَلَوۡ شِئۡنَا لَرَفَعۡنَٰهُ بِهَا وَلَٰكِنَّهُۥٓ أَخۡلَدَ إِلَى ٱلۡأَرۡضِ وَٱتَّبَعَ هَوَىٰهُۚ فَمَثَلُهُۥ كَمَثَلِ ٱلۡكَلۡبِ إِن تَحۡمِلۡ عَلَيۡهِ يَلۡهَثۡ أَوۡ تَتۡرُكۡهُ يَلۡهَثۚ ذَّٰلِكَ مَثَلُ ٱلۡقَوۡمِ ٱلَّذِينَ كَذَّبُواْ بِ‍َٔايَٰتِنَاۚ فَٱقۡصُصِ ٱلۡقَصَصَ لَعَلَّهُمۡ يَتَفَكَّرُونَ١٧٦﴾

“Dan bacakanlah kepada mereka berita orang yang telah Kami berikan kepadanya ayat-ayat Kami (pengetahuan tentang isi al-Kitab), kemudian dia melepaskan diri daripada ayat-ayat itu, lalu dia diikuti oleh syaitan (sampai dia tergoda), maka jadilah dia termasuk orang-orang yang sesat. (175) Dan kalau Kami menghendaki, sesungguhnya Kami meninggikannya (darjatnya) dengan ayat-ayat itu, tetapi dia cenderung kepada dunia dan menurutkan hawa nafsunya yang rendah, maka perumpamaannya seperti anjing, jika kamu menghalaunya dihulurkannya lidahnya dan jika kamu membiarkannya, dia menghulurkan lidahnya (juga). Demikian itulah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka, ceritakanlah (kepada mereka) kisah-kisah itu agar mereka berfikir. (176)” (Surah al-A‘raf: 175-176)

Walaupun khazanah ilmu Islam dipelihara oleh Allah SWT melalui para ulama’ yang berjuang, tetapi ketiadaan kuasa politik menyebabkan mereka dikepung. Bahkan, ilmu fiqh politik Islam pula ditinggalkan.

Sesungguhnya, Islam diwajibkan memimpin dan diizinkan bertahaluf (bekerjasama bersama bukan Islam dalam masyarakat majmuk atas dasar Islam memimpin). Namun begitu, diharamkan berwala’ kepada bukan Islam (diberikan kepimpinan yang melibatkan dasar menghanyutkan Islam).

Di sini, adanya perbezaan antara kerjasama Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bersama Perikatan Nasional (PN) yang didominasi oleh kepimpinan Melayu Islam. Kerjasama ini mengambil teladan Rasulullah SAW yang menyatukan kaum bangsa Arab yang Islam dan bukan Islam yang tidak ekstrem, bagi melaksanakan konsep adil kepada semua yang berprinsipkan aqidah beriman dan berakhlak.

Adapun kerjasama Pakatan Harapan (PH) bersifat liberal dan pragmatik bersama UMNO yang hanyut meninggalkan dasar perjuangannya sehingga berwala’ kepada Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang menjadi parti terbesar. Sebuah parti yang ekstrem bersama ideologinya iaitu sekularisme dan ‘Malaysian Malaysia’ yang terpisah daripada agama dan boleh menghapuskan kepimpinan Melayu Islam.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 24 Zulhijjah 1442 / 13 Julai 2023

[Bil: 56 / 2023]

Author: matlangat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *