SERAMAI 52,471 pengundi berdaftar akan melaksanakan tanggungjawab membuang undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.
PRK Parlimen Tanjung Piai menyaksikan pertandingan enam penjuru susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik akibat komplikasi jantung 21 September lalu.
Enam calon terbabit, calon Pakatan Harapan (PH) dari BERSATU, Karmaine Sardini, 66; calon Barisan Nasional (BN) dari MCA, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng dan calon (GERAKAN), Wendy Subramaniam.
Turut bertanding Presiden BERJASA, Dr Badrulhisham Abdul Aziz dan dua calon bebas, Dr Ang Chuan Lock yang juga pengetua sebuah pusat tuisyen serta Faridah Aryani Abdul Ghaffar.
Sebanyak 27 pusat mengundi dan 125 saluran akan dibuka untuk proses pengundian bermula 8 pagi hingga 5.30 petang.
Pada 12 November lalu, 280 anggota dan pegawai polis sudah membuang undi awal bagi PRK itu.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Mei tahun lalu, Allahyarham Md Farid memenangi kerusi itu dengan majoriti 524 undi dalam pertandingan tiga penjuru.
PRK Tanjung Piai adalah pilihan raya kecil kesembilan diadakan sejak PH memenangi PRU-14, Mei tahun lalu.