Otak cerdas datang dari badan yang sihat

KHAMIS | 12 DISEMBER 2019

HULU LANGAT – Urusan Ulama PAS Kawasan Hulu Langat telah menganjurkan program Sarapan Tarbawi dan Sukaneka Santai pada cuti sempena Ulangtahun ke 74 Sultan Selangor di Maahad Tahfiz Az Zahrah Batu 18 1/2 Hulu Langat,Selangor.Program ini disertai oleh YDP PAS Hulu Langat,Hj Mohamad Jan Sulong, Ketua Pemuda PKHL,Zukh Ahmad ,Ketua Urusan Ulama dan ahli ahli PAS.


Didalam ucapan alu-aluan YDP PKHL menyatakan bahawa riadah sukan ini satu ibadah dan perlu ikut sunnah Rasulullah SAW.

“Islam agama syumul yang mendidik umatnya untuk mencapai kebahagiaan akhirat tanpa meminggirkan persoalan duniawi. Justeru, amalan riadah atau bersukan menjadi sebahagian perkara yang perlu diberi perhatian bagi melahirkan masyarakat cerdas pemikiran dan kuat fizikal.Umat Islam tanpa mengira usia dan kedudukan wajar memanfaatkan masa terluang dengan melakukan riadah dan bersukan untuk mengekalkan kecergasan tubuh badan seterusnya dapat menunaikan amal ibadah difardukan dengan sempurna dan penuh khusyuk.” katanya.

Rasulullah SAW sentiasa mengingatkan umatnya menjaga kesihatan, kuat serta terhindar daripada sebarang penyakit memudaratkan. Ini penting kerana kekuatan tenaga dan fizikal akan dapat melahirkan rasa gerun dalam kalangan musuh Islam yang sentiasa mengambil kesempatan untuk melakukan ancaman serta provokasi terhadap umat Islam.

Rasulullah SAW bersabda: “Orang beriman yang kuat lebih baik dan lebih disukai oleh Allah berbanding daripada orang beriman yang lemah.” (Hadis riwayat Muslim)

Banyak hadis menyebut mengenai acara sukan yang sangat popular pada zaman Rasulullah SAW seperti memanah, menunggang kuda serta berenang.

Sabda Rasulullah SAW : “Lemparkanlah (lepaskanlah anak panah) dan tunggangilah (kuda).” (Riwayat Muslim)

Diriwayatkan oleh Imam Bukhari mengisahkan: “Nabi SAW melalui satu kawasan di mana sahabat sedang memanah. Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya datuk kamu, Nabi Ismail adalah seorang pemanah. Memanahlah dan aku bersama Bani Fulan (salah satu kumpulan pemanah).” Lalu kumpulan satu lagi berhenti memanah. Rasulullah SAW bertanya: “Kenapa kamu berhenti memanah?” Jawab sahabat: “Bagaimana kami hendak memanah kamu berada bersama kami.” Nabi SAW menjawab: “Memanahlah, aku bersama kamu semua.” (Hadis riwayat Bukhari)

Bersabda Rasulullah SAW, “Kamu harus belajar memanah kerana memanah itu termasuk sebaik-baik permainanmu.” (Riwayat Bazzar, dan Thabarani)

Kebaikan Memanah

Melatih emosi dan fizikal untuk meletakkan target pada sasaran. Memanah sangat menitik beratkan body balancing. Maka jika pemanah emosinya tertekan, maka panahan amat mudah tersasar. Secara tidak langsung, sukan ini melatih manusia bertenang dan menstabilkan emosi.

Individu yang tidak tenang, gopoh, pemarah, kurang sabar atau kurang sihat mentalnya tidak akan menjadi pemanah yang baik.

Perbuatan melenturkan anak panah di busurnya, kemudian melepaskannya perlu satu kekuatan fizikal, sukan ini juga satu latihan holistik kepada diri seseorang dari segi fizikal dan mental.
Rasulullah SAW bersabda, “Ajarilah anak-anak kamu berkuda, berenang dan memanah”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Pepatah Arab juga menyebut ‘otak yang cerdas datangnya dari badan yang sihat’.

Dalam keghairahan beriadah dan bersukan, janganlah mengabaikan perkara yang dilarang syariat seperti mendedahkan aurat, pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan selain lalai menunaikan kewajipan solat. Hindari acara sukan yang membabitkan perjudian

Firman Allah: “Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami turunkan kepada kamu (bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan, dan pakaian yang berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah daripada tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmat-Nya kepada hamba-Nya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).” (Surah al-A’raaf, ayat 26)

Nikmat kesihatan yang dikurniakan Allah SWT wajar dimanfaatkan secara betul menurut landasan syariat supaya kita menjadi mukmin atau mukminah bertakwa kepada Allah serta bersedia menabur khidmat dalam masyarakat.

.


.

.

Author: matlangat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *