Syawal Bulan Membazir?Pembaziran adalah Sikap bukannya Kaya.

Oleh Dr Muhammad Faisal Ashaari

Sambutan Aidilfitri akan meriah dan lebih bererti dengan pelbagai persiapan makanan, pakaian, hiasan dan sebagainya. Maklumlah untuk menyambut kehadiran 1 sehingga 30 Syawal. Dalam pada itu, terdapat ramai orang yang terlebih gembira dalam sambutan ini sehingga membuat persiapan dan pembelian yang berlebihan sehingga membawa kepada pembaziran yang dilarang oleh agama.

Sebenarnya, membazir bukanlah disebabkan kaya atau miskin, tetapi ia merupakan suatu sikap dan tabiat yang keterlaluan dalam sesuatu perkara. Ia meliputi sikap ingin menunjuk-nunjuk, terpengaruh dengan medsos dan rakan sosial, dan tiada perancangan yang teliti. Semua sikap ini akhirnya menjerumuskan dirinya ke lembah pembaziran.

Berikut adalah tujuh punca pembaziran iaitu :-

1- Berlebihan dalam berbelanja barang keperluan

Membeli barang keperluan adalah suatu kemestian tetapi apabila berlebihan dalam berbelanja membawa kepada pembaziran. Berlebihan ini boleh dilihat apabila barang yang dibeli itu melebihi jumlah atau kuantiti yang sepatutnya sehingga boleh rosak atau terbuang atau musnah atau rugi. Contohnya, keperluan di rumahnya kepada 2 botol Cordial tetapi membeli sehingga 5 botol. Begitu juga, mengambil makanan dengan kuantiti yang banyak di rumah terbuka tetapi tidak dihabiskan.

2- Keterlaluan dalam kemewahan

Membeli barang yang menjadi keinginan adalah suatu kegembiraan dan tiada halangan dalam agama. Ini termasuklah membeli barangan dan perkhidmatan yang mewah. Namun, melayan keinginan dan bermewahan berpotensi kepada pembaziran yang dilarang apabila :-

  • Apabila sanggup berhutang kerana barang dan perkhidmatan itu di luar kemampuan. Contohnya, melayan keinginan untuk travel ke luar negara dengan pakej premium.
  • Apabila mengabaikan hak orang lain. Apabila membeli sesuatu yang menjadi keinginannya, dia memperuntukkan kewangan untuknya dan mungkin terpaksa memotong keperluan anak isterinya atau pekerja bawahannya.
  • Apabila membeli barang pada harga yang tidak berpatutan dan tidak praktikal semata-mata untuk self reward iaitu memberi penghargaan pada diri sendiri setelah penat bekerja dengan. Tiada halangan memberi ganjaran pada diri sendiri sebagai motivasi untuk bekerja keras lagi, tetapi biarlah perbelanjaan itu berpatutan dan pembelian itu tidaklah terburu-buru. Contohnya membasuh kasut di kedai dengan harga RM100 sedangkan harga kasut itu RM150.

3- Menggunakan harta pada perkara yang tiada berfaedah

Membuang harta dan membelanjakannya pada perkara yang sia-sia dilarang dalam agama. Walaupun pada zahirnya, tiada orang yang sengaja membuang hartanya, tetapi ia boleh berlaku secara tanpa sedar dan mungkin juga dengan sedar. Contohnya, membeli mercun dengan amaun yang banyak. Biarpun tiada halangan untuk membakar mercun tetapi apabila melibatkan wang yang banyak ia berpotensi kepada pembaziran.

Contoh lain ialah membayar sesuatu perkhidmatan yang tidak anda guna seperti melanggan pakej XX tetapi anda menggunakannya atau menontonnya dua kali sahaja sebulan sedangkan membayar RM99 sebulan.

4- Sikap ingin menunjuk-nunjuk

Menunjuk pakaian atau kenderaan baharu itu tidak dapat dielakkan kerana pakaian dan kenderaan itu mestilah tunjuk. Namun, sikap menunjuk-nunjuk itu membawa kepada pembaziran kerana ia adalah perasaan dalam hati untuk merasa lebih bagus dari orang lain. Perasaan itu ditandakan lagi dengan tindakan seperti membeli barang yang mahal untuk memuaskan nafsu merasa hebat atau lebih hebat dari orang lain. Tunjuk dibolehkan tetapi menunjuk-nunjuk itu diharamkan.

5- Mudah terpengaruh dan terpedaya dengan promosi dan tawaran

Sikap ingin mengikuti semua trend semasa akibat terpengaruh dengan iklan dan promosi membawa kepada pembaziran. Barang yang sedia ada masih baharu lagi sudah diganti dengan barang yang baharu. Ini termasuklah mudah terpengaruh dengan promosi diskaun terhadap sesuatu barangan sehingga membeli barang bukan keperluannya. Hanya untuk memenuhi nafsu geram terhadap sesuatu. Ini disebut sebagai sikap obsesif iaitu sikap kerap memikirkan mahu membeli barangan terutama apabila ada promosi harga murah.

Apatah lagi dengan kemudahan pembelian secara atas talian yang tidak memerlukan untuk keluar atau bertemu secara fizikal. Tanpa disedari, banyak wang dibelanjakan tanpa kawalan.

6- Berbelanja tanpa perancangan

Sikap gopoh dan tiada perancangan yang teliti mengundang kepada pembaziran. Contohnya mengadakan rumah terbuka Aidilfitri tanpa diteliti anggaran jumlah pengunjung, kuantiti makanan dan tarikh yang sesuai. Memang yang dijemput 100 orang tetapi mereka juga telah makan di tempat lain, maka penyediaan harus mengambil kira perkara ini. Ini termasuklah dua atau tiga orang membeli barang yang sama akibat tiada penyelarasan.

7- Berbelanja pada perkara yang haram
Perkara ini jelas membazir seperti membeli arak dan merokok.

Ringkasnya, membazir adalah suatu sikap boros yang dilarang dalam agama. Sikap ini disukai oleh syaitan kerana sikap ini bertentangan dengan perkara yang Allah suka. Sempena Syawal ini, berhemahlah dalam berbelanja, kerana setiap wang yang dibazirkan, akan ada di sana hak manusia yang terabai.

Salam Hormat
4 Syawal 1444

Author: matlangat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *